Home » » Panduan Puasa

Panduan Puasa

Puasa ialah salah satu ibadat tertua dalam sejarah kehidupan manusia. Amalan ini telah dilakukan oleh umat-umat terdahulu sebelum Muhammad s.a.w. diutuskan menjadi rasul. Dalam ajaran Yahudi dan Nasrani, puasa adalah satu amalan yang wajib dilaksanakan. Orang-orang arab pada zaman jahiliah juga telah menetapkan hari-hari tertentu seperti hari Asyura dan lain-lain untuk mereka berpuasa. 
Begitulah juga dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini mengamalkan puasa dengan cara dan tujuan yang tersendiri.Dalam syariat Islam, puasa mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar. Ia boleh meningkatkan taqwa orang-orang mukmin terhadap Allah S.W.T. Ibadat ini mula disyariatkan sebagai satu kefardhuan bagi umat Islam ialah pada akhir bulan Syaaban tahun kedua Hijrah dan menjadi salah satu daripada Rukun Islam. Firman Allah S.W.T. seperti yang termaktub dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 183.


“Wahai orang-orang yang beriman.! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana di-wajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,

Islam itu dibina di atas lima perkara (rukun), iaitu mengucap syahadah bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesurah Allah, mendirikan sembahyang, memberi zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah. (Hadis sahih, riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

DEFINASI PUASA

Puasa ialah perkataan bahasa Melayu yang diterjemahkan dari kata bahasa Arab “as-saum” atau “as-syiam” Dari segi bahasa ia bererti menahan diri dari sesuatu perkara. Pada pengertian syarak ia bermaksud menahan diri dari makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkannya mulai dari terbit fajar sadiq sehinggalah ke waktu matahari terbenam.


JENIS PUASA

Puasa terbahagi kepada empat jenis, iaitu puasa wajib, puasa sunat, puasa makruh dan puasa haram. Puasa wajib ialah puasa pada bulan Ramadhan, puasa nazar dan puasa kifarat iaitu kifarat (denda) kerana membunuh orang atau kerana bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan.

Puasa sunat di antaranya ialah puasa enam hari pada bulan syawal, puasa hari Arafah iaitu pada sembilan haribulan Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, puasa hari Asyurah iaitu pada sepulah haribulan Muharram, puasa pada bulan Rejab dan Shaaban, puasa pada hari Isnin dan Khamis dan lain-lain.

Puasa makruh ialah puasa yang dilakukan terus menerus sepanjang tahun kecuali pada hari-hari yang diharamkan dan puasa pada hari Jumaat sahaja. Puasa haram ialah puasa pada dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji dan puasa pada Tasyrik, iaitu hari kesebelas, duabelas dan tigabelas Zulhijjah dan juga pada hari syak iaitu hari yang tidak dapat dipastikan sama ada sudah masuk bulan Ramadhan atau belum.

RUKUN PUASA

Rukun puasa ada dua perkara, iaitu: Berniat puasa, Niat puasa hendaklah dilakukan pada tiap-tiap malam sebelum hari puasa. Walaupun begitu ia boleh juga dilakukan pada malam sebelum hari pertama puasa. Contoh lafaznya ialah “ aku berniat berpuasa esok hari dan hari-hari seterusnya sepanjang bulan Ramadhan, wajib atasku kerana Allah Taala”. Tetapi jika ia tertinggal puasa, ia hendaklah berniat semula selepas hari yang ditinggalkan itu. Bagaimanapun sebaik-baik niat puasa ialah dilakukan pada tiap-tiap malam semasa memulakan makan sahur.

Menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa mulai dari waktu terbit fajar (masuk waktu subuh) sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib).

SYARAT WAJIB PUASA

1. Beragama Islam
2. Baligh atau sampai umur
3. Berakal sempurna
4. Berkuasa mengerjakannya

SYARAT SAH PUASA

  1. Islam, Orang-orang bukan Islam tidak sah puasanya
  2. Mumaiyiz, yakni mengerti perbezaan yang baik dengan yang buruk atau yang bersih dengan yang kotor
  3. Suci daripada haid dan nifas bagi perempuan. Orang yang berhaid dan yang sedang berdarah nifas tidak sah puasa, tetapi wajib mengadakan puasa yang tertinggal itu
  4. Puasa pada hari-hari yang dibenarkan sahaja. Tidak sah puasa pada dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji serta hari-hari tasyrik iaitu dari 11 hingga 13 haribulan Zulhijjah

Write By : Khocet Dot Com ~ Panduan Gratis Adobe Photoshop,Blog,Puisi,Ragam Tips,Dan Bahan Ajar

Article : Panduan Puasa Post By : Khocet Dot Com
Terimakasih atas kunjungan serta kesediaan Anda membaca artikel ini. Kritik yang membangun serta pertanyaan dan saran dapat anda tuliskan melalui kotak komentar,semoga bermanfaat
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

 

Design By : Khocet Dot Com
Powered by Blogger